MELAKA – Perbuatan seorang lelaki warga Kemboja mencuri kepingan isi pokok gaharu di Hutan Simpan Taman Botanikal dekat sini membawa padah apabila didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Ali Sulaiman, 40, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang yang masih bebas didapati telah melakukan kesalahan mencuri kepingan isi pokok gaharu milik Perbandaran Hang Tuah Jaya kira-kira pukul 1 pagi di dalam Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius kerana ia melibatkan pencerobohan harta dan hak milik seseorang.
Tambahnya, barang dicuri adalah kepingan isi pokok gaharu yang mempunyai nilai komersial tinggi dan sukar diperolehi, selain menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri dan pengajaran umum bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan kesalahan mencuri tumbuhan bernilai tinggi serta sumber alam.
Mahkamah kemudian menerima pengakuan bersalah tertuduh dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar, manakala barang kes diserahkan semula kepada pihak pendakwaan.- KOSMO! ONLINE














