RAUB – Tiga lelaki warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki senegara mereka di Genting Highlands bulan lalu.
Kes berkenaan adalah kes berprofil tinggi yang turut dikaitkan dengan tuntutan wang tebusan mencecah jutaan ringgit dalam bentuk mata wang kripto.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 40 tahun itu tidak dapat dibacakan selepas mereka didapati tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris.
Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Sharizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes selain tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh.
Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali membenarkan permohonan itu dan menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Korea hadir ke mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh direman tanpa jaminan sementara menunggu prosiding seterusnya.
Shahrizat memaklumkan, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penculikan didalangi warga Korea Selatan selepas menyelamatkan seorang lelaki yang diculik ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur pada 17 April lalu.
Mangsa dikatakan diekori sebelum kendaraannya dihalang suspek, lalu dibawa dan dikurung di sebuah rumah inap di Melaka selama empat hari.
Kumpulan penculik terbabit kemudian dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak 10 juta mata wang kripto Tether (USDT), bersamaan kira-kira RM39.66 juta daripada keluarga mangsa.
Bagaimanapun, keluarga lelaki itu dilaporkan telah membuat bayaran sebanyak tiga juta USDT atau kira-kira RM11.9 juta bagi memastikan mangsa dibebaskan.
Hasil maklumat juga mendapati mangsa merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Korea Selatan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian haram selain tersenarai dalam Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).- KOSMO! ONLINE














