KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, mengingatkan semua wakil rakyat agar tidak menunggu tahun terakhir sebelum pilihan raya untuk ‘tunjuk muka’ bagi membantu masyarakat akar umbi.
Baginda bertitah setiap wakil rakyat yang diberi mandat perlu melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti sepanjang masa tidak hanya menjelang pilihan raya sahaja.
“Rajinkan diri turun naik ke jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.
“Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok sampai kepada saya,”titah baginda pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurut baginda wakil rakyat perlu bekerja bersungguh-sungguh dan segera menyelesaikan masalah rakyat, jangan hanya menunggu sewaktu dekat pilihan raya.
Katanya, sebagai wakil dipilih wakil rakyat juga seharusnya turun padang dan turun naik jabatan atau agensi terbabit bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Sementara baginda menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuma mengganggu gugat keharmonian di negeri ini melalui permainan isu-isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Katanya sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan isu-isu 3R ini perlu dihentikan.
“Begitu juga menjelang pilihan raya umum akan datang, semua pihak disaran agar tidak memainkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan sebaliknya berpolitik matang.
“Pihak pembangkang perlu berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif manakala pihak kerajaan pula hendaklah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang tercicir,”katanya.- KOSMO! ONLINE














