Penggunaan teknologi secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan emosi tanpa disedari. - GAMBAR JANAAN AI

Badan rehat tapi otak tetap ‘online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELETIHAN mental atau dipanggil ‘burnout digital’ kini menjadi isu yang membimbangkan apabila ramai dilihat sukar memisahkan kehidupan harian daripada penggunaan teknologi dan media sosial.

Situasi itu bukan sahaja melibatkan golongan pekerja, malah turut memberi kesan kepada pelajar universiti serta remaja yang menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin setiap hari.

Kehadiran pelbagai platform media sosial seperti TikTok dan aplikasi komunikasi segera menyebabkan ramai individu berada dalam keadaan ‘sentiasa online’ hingga mengganggu keseimbangan hidup.

Malah, ada yang mengakui sukar untuk berehat sepenuhnya kerana fikiran masih tertumpu kepada telefon bimbit walaupun selepas tamat waktu kerja atau ketika sedang bercuti.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norasmah Othman berkata, penggunaan teknologi secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan emosi tanpa disedari.

Menurutnya, masyarakat hari ini terlalu terdedah kepada lambakan maklumat digital hingga otak tidak mempunyai ruang untuk berehat dengan baik dan secukupnya.

“Ramai menganggap mereka hanya menggunakan telefon untuk hiburan, namun hakikatnya otak terus bekerja menerima maklumat tanpa henti.

“Keadaan itu boleh menyebabkan keletihan mental, gangguan emosi dan hilang fokus dalam kehidupan harian,” katanya kepada Kosmo!

Jelasnya, fenomena tersebut semakin ketara selepas budaya kerja fleksibel dan pembelajaran dalam talian menjadi norma sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ujarnya, ramai pekerja kini berdepan tekanan untuk memberi respons segera terhadap mesej kerja walaupun di luar waktu pejabat.

“Apabila seseorang terlalu lama terdedah kepada skrin dan komunikasi digital, mereka akan berasa penat secara emosi walaupun tubuh badan tidak melakukan kerja berat,” katanya.

Bersetuju dengan Norasmah ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Malaya (UM), Dr. Rozmi Ismail yang berpandangan bahawa ketagihan media sosial menjadi antara faktor utama peningkatan tekanan mental dalam masyarakat moden.

Menurutnya, media sosial menyebabkan pengguna sentiasa mahu melihat perkembangan semasa sehingga sukar mengawal masa penggunaan telefon pintar.

“Ramai tidak sedar mereka sebenarnya mengalami keletihan digital kerana terlalu banyak menghabiskan masa di media sosial.

“Apabila otak tidak diberi peluang untuk berehat, seseorang akan mudah berasa tertekan, cepat marah dan mengalami gangguan tidur,” katanya.

Tambahnya, golongan muda antara yang paling terkesan kerana sebahagian besar rutin harian mereka banyak bergantung kepada telefon pintar termasuk untuk hiburan, pembelajaran dan komunikasi.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan ramai individu hilang keupayaan untuk memberi tumpuan dalam tempoh yang lama.

Justeru, Rozmi berpendapat masyarakat perlu mula mengawal penggunaan teknologi dengan menetapkan had masa skrin serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dengan aktiviti luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN