GEMERLAP dunia seni persembahan tanah air terus bersinar dalam sebuah malam penuh magis, saat insan seni berhimpun menyulam kreativiti tanpa batas.
Bukan semata-mata pesta penghargaan, tetapi pertemuan jiwa-jiwa kreatif merentas zaman, disiplin dan latar, membuktikan seni tidak pernah mati, sebaliknya terus bernafas dan berevolusi dengan waktu.
Malam Ahad lalu, Anugerah Seni BOH Cameronian ke-21 (BCAA21), meraikan setahun lagi kecemerlangan seni serta landskap industri semakin dibentuk melalui kolaborasi merentas disiplin, komuniti dan teknologi baharu.
Selepas melangkaui pencapaian dua dekad, edisi kali ini memberi fokus kepada kekuatan kolaborasi melangkaui kebiasaan.
Dipersembahkan oleh BOH Plantations dan Kakiseni, edisi ke-21 tampil dengan tema COLLABeyond: Co-create the Future, mencerminkan lanskap kreatif kian berkembang apabila penggiat seni mentakrif semula penceritaan melalui gabungan disiplin, budaya serta teknologi.
40 anugerah
Malam gemilang tersebut dihoskan penuh karisma oleh Sean Ghazi dan Huhu Maira, menyaksikan 40 anugerah disampaikan, termasuk kategori berprestij Best Of 2025 serta pengumuman penerima Lifetime Achievement Award.
Antara penyampai termasuk pengasas Kakiseni, Kathy Rowland dan Jenny Daneels, selain ikon teater seperti Jo Kukathas, Joe Hasham serta Datuk Dr. Faridah Merican.
Pentas semakin hidup dengan persembahan Aidilla Shaffi, Mae Elliessa, Alesia Dhana, Zhafir Muzani dan Max Jala, mencerminkan kepelbagaian warna seni tempatan.
Sebanyak 40 pemenang diraikan merangkumi kategori lakonan, pengarahan, koreografi, muzik, reka bentuk dan produksi dalam empat disiplin utama persembahan tarian, muzik, teater muzikal dan teater.
Kemuncak malam menyaksikan dua karya unggul sebagai produksi paling cemerlang meraih anugerah Terbaik 2025 iaitu Fragments of Tuah oleh Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company.
Antara nama mencuri tumpuan termasuk Nabila Huda sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Malam dalam teater muzikal Masmoona, Muzza bagi Persembahan Solo Terbaik Vokal (Symphonic Rock 2.0) dan Jyotsna Prakash dan Hariraam Tingyuan Lam untuk Reka Bentuk Muzik & Bunyi Terbaik dalam The Artiste’s Dream.
Naz Manterang pula meraih pengiktirafan berganda bagi Rekaan Kostum Terbaik, Penggayaan & Solekan dalam kategori tarian dan teater muzikal, manakala Mark Teh unggul dengan Skrip Asal Terbaik serta Pengarah Terbaik menerusi Fragments of Tuah.

Produksi Gangsapura turut mencipta sensasi apabila menyapu empat anugerah dalam kategori muzik.
Malam penuh emosi tersebut turut memberi penghormatan kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor sebagai penerima Lifetime Achievement Award atas sumbangan besar memartabatkan Zapin serta seni persembahan Melayu di peringkat global.
Menurut wakil BOH, Caroline Russell, seni sangat berharga dan penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang sentiasa memperjuangkannya.
“Meraikan 21 tahun BOH Cameronian Arts Awards, kita bukan hanya menandakan satu pencapaian, tetapi meraikan komuniti dinamik terbentuk daripada kreativiti, ketahanan serta kolaborasi.
“Perjalanan ini berkembang menjadi platform penting mengiktiraf seni sambil memupuk suara baharu. Melalui cabaran dan kejayaan, komuniti seni terus memberi inspirasi, menghubungkan masyarakat serta menolak sempadan.
“COLLABeyond mencerminkan semangat tersebut apabila kita berganding bahu merentas disiplin, kita menjadi lebih kuat dan mampu mencipta sesuatu lebih besar,” katanya.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen pula menegaskan mengenai peranan artis sebagai pencorak perubahan.
“Artis bukan sekadar pemerhati, tetapi pembentuk perubahan. Seni persembahan sentiasa berkembang melalui kolaborasi. Hari ini, kita melihat kerjasama merentas disiplin, budaya dan teknologi.
“Artis Malaysia bukan hanya menyesuaikan diri, tetapi membentuk masa depan. Kreativiti dan teknologi kini bergerak seiring. Masa depan seni milik mereka berani bekerjasama tanpa rasa takut kerana di situlah lahirnya idea baharu, khalayak baharu serta kemungkinan tanpa batas,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara, Tan Sri Norliza Rofli menyifatkan malam tersebut sebagai simbol hala tuju baharu industri.
“Malam ini tentang perjalanan bersama. Malaysia tidak pernah kekurangan bakat atau cerita. Namun terlalu lama kita bergerak secara terpisah.
“COLLABeyond, melangkaui kerjasama konvensional, daripada berkongsi pentas kepada mencipta pentas bersama. Kami akan menjadi penghubung untuk menyatukan generasi demi masa depan seni,” ucapnya.














