KUANTAN – Tanpa kawalan polis di stesen-stesen minyak di sempadan negera terbukti menyebabkan berlaku penyelewengan apabila minyak RON 95 dijual kepada mereka yang tidak layak termasuk kepada warganegara asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu pihak polis akan terus ditempatkan di kira-kira 170 stesen minyak di sempadan negara pada masa ini.
“Melalui pemantauan kita dapati jualan RON 95 merosot sehingga 20 peratus manakala RON 97 petrol tidak bersubsidi ini melonjak jualannya.
“Apa maksud angka ini, maksudnya kalau tanpa kawalan polis maka kita dapati jumlah ini ia pergi kepada mereka yang tidak layak untuk perolehinya tetapi bila dia nampak kehadiran pasukan polis, mereka yang tidak layak itu fikir banyak kali untuk membeli minyak subsidi yang sepatutnya mereka tidak layak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Jelajah Wira Madani Briged Tenggara PGA di Dewan Kelisa Mess Pegawai Briged Tenggara, PGA Kuantan, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin sejak krisis Asia Barat pihaknya telah menubuhkan bilik operasi harian bagi mengumpul semua data dan maklumat hasil gerak kerja pelbagai agensi di bawah kementerian itu.
Katanya, ini termasuk data-data di 170 stesen minyak yang terletak di sempadan negara iaitu di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor.
Tambah beliau pihaknya juga sedang melakukan pemprofilan stesen-stesen minyak dan sedang mengenalpasti modus operandi sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Buat masa sekarang kawalan anggota polis ini akan kita teruskan. Alasannya sangat mudah ketika kita sedang bergelut untuk memastikan bekalan cukup, kita kekalkan harga rendah dengan kaedah pemberian subsidi timbul perbuatan penyeludupan dan salah guna, maka itu sangat tidak wajar.
“Pihak polis kami ambil peranan untuk membantu supaya tidak berlaku ketirisan yang merugikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














