fbpx
Foto Sultan Sharafuddin yang dikongsikan di media sosial rasmi Selangor Royal Official, hari ini.

‘Full stop’ isu ternakan babi di Selangor – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini seperti yang telah ditegaskan sebelum ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian baginda itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Justeru katanya, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di negeri ini.

Malah katanya, baginda mengambil contoh negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.

Mengulas lanjut, kata beliau, Sultan Sharafuddin berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor.

“Ini memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, baginda menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN