fbpx
Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menafikan dakwaan kononnya beliau ingin bersara dari dunia nyanyian sebagaimana tular sepotong video dirakam di sebuah acara hiburan.

‘Pengganti saya pun dah ramai’ – Jamal Abdillah bakal bersara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menafikan dakwaan kononnya beliau ingin bersara dari dunia nyanyian sebagaimana tular sepotong video dirakam di sebuah acara hiburan baru-baru ini.

Menurut Jamal, 67, gurauan itu hanya terlintas ketika sedang menunggu giliran mengadakan persembahan selain mahu mengetahui respons peminat apabila menyatakan hal tersebut.

“Sebenarnya pengumuman bersara itu adalah gurauan pentas ketika saya menunggu terlalu lama untuk giliran membuat persembahan yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, saya bergurau atas pentas dengan beritahu menjelang umur saya 67 tahun ini, saya ingat nak bersara. Apa pandangan?

“Begitulah gurauan saya di pentas ketika itu,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Katanya, bersara dari dunia nyanyian tidak ada dalam kamus kerjaya seninya setakat ini.

“Bagi saya, istilah bersara itu tiada bagi seorang penyanyi. Memang tak ada.

“Penghibur memang tak ada istilah bersara. Jadi, saya cuma nak tengok dan ‘test market’ sama ada peminat dan penonton masih mahu saya meneruskan persembahan atau tidak,” katanya lagi.

Namun, dia tidak menafikan gembira melihat ramai penyambung legasi seninya ketika ini termasuk anak-anak lelaki dan anak saudara.

“Tapi, pengganti-pengganti saya pun sudah ramai, anak buah, sepupu dan anak-anak saya pun ada.

“Jadi kalau mereka (peminat) rasa saya diperlukan lagi dalam bidang ini, saya teruskanlah.

“Tapi untuk saya, memang tidak akan ada persaraan. Mohon maaf kepada peminat atas kenyataan yang mengejutkan itu, hanya sekadar gurauan,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video Jamal membuat persembahan di sebuah acara namun paling mengejutkan, pemilik akaun tersebut memberitahu penyanyi tersebut bakal bersara dari dunia nyanyian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN