KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan garis panduan baharu bagi memperkukuhkan peraturan berkaitan waktu bekerja Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu tertakluk kepada garis panduan serta pelaksanaan di lapangan.
“Dalam sehari dua ini, garis panduan baharu akan dikeluarkan untuk memperkukuhkan lagi ketetapan waktu bekerja supaya ia selaras dengan garis panduan asal sistem fleksi (Sistem Waktu Kerja Fleksi).
“(Ia bertujuan) menambah baik ikut keadaan semasa dan realiti yang berlaku di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan CRM Trial Connect Conference 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung dakwaan PPS di negara ini bekerja sehingga 10 hingga 15 jam lebih masa tanpa bayaran seperti yang dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI).
Menurut MMI, PPS di Malaysia didakwa berdepan beban kerja tinggi sehingga 85 jam seminggu, selain wujud budaya kerja tidak rasmi yang menyebabkan kerja lebih masa tidak direkodkan.
Bagaimanapun, Dzulkefly menjelaskan bahawa PPS tertakluk kepada garis panduan waktu bekerja sedia ada di bawah sistem fleksi yang menetapkan lingkungan 65 hingga 80 jam seminggu.
“Perkara ini sudah pun ada dalam pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan. PPS bukan ‘extra pairs of hands’,” katanya.
Tambah beliau, jika masih terdapat isu berkaitan beban kerja berlebihan, ia perlu dilihat sebagai masalah pelaksanaan di peringkat lapangan yang perlu diperbaiki, bukan semata-mata kegagalan dasar.
“Kalau ada isu, kita kena kembali kepada peraturan asal yang telah ditetapkan. Kita akan perbaiki dari segi pelaksanaan di lapangan,” katanya.
Terdahulu, MMI mendakwa PPS di Malaysia berdepan situasi kerja lebih masa tidak direkodkan sehingga 10 hingga 15 jam seminggu, selain tempoh syif panjang yang dikatakan tidak setara dengan amalan di beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Ireland. – KOSMO! ONLINE














