fbpx
AHMAD ZAHID

Permohonan Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid dibenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Badan Peguam berjaya dalam permohonan untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) yang menghentikan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan AG memberhentikan prosiding tersebut.

Dalam penghakiman, mahkamah mendapati permohonan badan itu selaku perayu untuk mendapatkan kebenaran bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.

Semasa membacakan keputusan tersebut, beliau berkata, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.

Beliau berkata, cabaran Badan Peguam mempunyai isu-isu yang boleh dipertikaikan terhadap kedudukan AG dalam menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid.

“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit. Sehubungan itu, kami mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke sana bagi pendengaran substantif semakan kehakiman,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah, Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan berkenaan selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN