PETALING JAYA – Dalam masa dua minggu, banjir kilat sedalam 1.2 meter kembali melanda kawasan medan selera di Jalan 51A/223, Seksyen 51A sehingga menyebabkan beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir tenggelam petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.15 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bergegas ke lokasi dan tiba 11 minit kemudian.
“Berlaku kejadian banjir kilat di kawasan medan selera dengan kedalaman air kira-kira 1.2 meter. Terdapat beberapa buah kenderaan tenggelam, namun tiada pemindahan mangsa kerana paras air semakin surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! pada 21 April lalu melaporkan Medan Selera 223 yang menjadi lokasi popular hidangan nasi lemak dan sup dinaiki air susulan cuaca hujan lebat.
Menerusi video tular di media sosial, kelihatan beberapa peniaga dan pekerja medan selera cuba menyelamatkan barangan ketika air mencecah paras pinggang. – KOSMO! ONLINE














