fbpx
Zambry (tiga dari kiri) bersama Raja Permaisuri Agong (tengah) dan delegasi Uzbekistan lain ketika bergambar di hadapan ICC, semalam. Foto FACEBOOK DR ZAMBRY.

Lawatan Raja Permaisuri Agong jadi jambatan ilmu Malaysia-Uzbekistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lawatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Uzbekistan bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi jambatan penting dalam menghidupkan kembali tradisi keilmuan Islam yang berteraskan ilmu, hikmah dan nilai.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat ke Persidangan Diraja bertemakan ‘Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran’ yang berlangsung di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC), Tashkent semalam.

Beliau berkata, dalam Titah Diraja, Raja Permaisuri Agong menzahirkan bahawa tradisi ketamadunan Islam telah membuktikan bahawa agama dan sains bukanlah dua entiti yang terpisah, sebaliknya mampu bergerak seiring dalam memajukan perkembangan ilmu dan peradaban.

“Persidangan diraja ini merupakan anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ICC, yang menghimpunkan sarjana dan tokoh pemikir dari pelbagai latar belakang dan negara.

“Patik dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong untuk patik menyampaikan kata aluan dalam persidangan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Zambry berkata, pada majlis ini, Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UTM telah berkenan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dengan lima institusi utama di Uzbekistan.

“Lima institusi tersebut adalah Pusat Peradaban Islam, Tashkent, Pusat Kajian Antarabangsa Imam Maturidi, Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan, Universiti Tashkent bagi Pengajian Oriental dan Pusat Kajian Antarabangsa Imam Bukhari, Samarkand,” katanya.

Dalam majlis yang sama beliau berkata Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan penyerahan sebanyak 20,000 naskhah Mushaf Al-Quran versi Malaysia oleh Yayasan Restu kepada Lembaga Waqaf Uzbekistan sebagai simbol persaudaraan dan perkongsian warisan ilmu yang merentasi sempadan negara.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong tiba di Tashkent, Uzbekistan pada Ahad lalu bersempena dengan lawatan khas ke negara tersebut.

Mengiringi Raja Permaisuri Agong dalam lawatan itu itu ialah Dr. Zambry, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan isteri, Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif serta Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN