BATU PAHAT – Tangisan dan esak hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa di Parit Sulong di sini malam ini ketika jenazah seorang kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan tengah hari tadi selamat dikebumikan.
Ibu mangsa, Asmilah Tugiran, 38, tidak dapat menahan kesedihan sebaik selesai pengebumian anak sulungnya itu, malah terpaksa dipapah oleh ahli keluarga selepas dilihat lemah dan hampir rebah di sisi pusara.
Wanita itu ditenangkan oleh bapanya, Tugiran Loso, 67, yang juga datuk kepada mangsa.
Mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di hadapan sekolahnya sejurus tamat sesi persekolahan tengah hari tadi.
Allahyarham merupakan anak sulung daripada dua beradik dan difahamkan tinggal bersama datuknya di Kampung Parit Mustaffa.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van yang berada di dalam kawasan sekolah selepas menghantar barang bergerak keluar melalui pintu pagar utama.- KOSMO! ONLINE














