PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan 17/21, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.08 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 1.45 petang apabila sebuah Proton X70 berwarna kelabu dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 20-an.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing dan alkohol ke atas pemandu berkenaan didapati negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Sivam di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














