fbpx
SEMPENA sambutan ulang tahun penubuhan ke-25, Simple Plan bakal menggegarkan Malaysia menerusi konsert jelajah The Bigger Than You Think! pada 21 November depan.

Simple Plan kembali, konsert epik 21 November depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUMPULAN pop-punk antarabangsa, Simple Plan bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert jelajah dunia The Bigger Than You Think! di Idea Live Arena pada 21 November depan.

Kehadiran semula band berstatus multi-platinum itu sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni mereka, sekali gus menjanjikan malam penuh nostalgia, tenaga luar biasa serta deretan lagu malar segar pernah mencorak generasi peminat.

Menurut penganjur, tiket konsert Kuala Lumpur akan mula dijual menerusi platform ticketmelon.com dan fantopia.io dengan jualan awal artis bermula 4 Mei 2026 pukul 11 pagi, diikuti jualan umum sehari selepas itu pada waktu sama.

Berkongsi keterujaan, anggota kumpulan tersebut tidak sabar untuk kembali bertemu peminat di rantau Asia Tenggara selepas kali terakhir tampil pada 2023.

“Kami sangat teruja untuk kembali ke Asia Tenggara dan membawa jelajah ‘Bigger Than You Think!’ kepada semua peminat di Malaysia dan negara jiran.

“Sudah tiga tahun tidak berkunjung ke sini dan kami amat bersyukur dapat kembali ke tempat kami sayangi serta sentiasa menyokong sejak awal.

“Sempena ulang tahun ke-25 ini, persembahan pasti lebih istimewa dengan senarai lagu merangkumi semua era, termasuk yang menjadi kegemaran peminat serta karya jarang dipersembahkan secara langsung,” kata mereka.

Terkenal dengan persembahan bertenaga, kumpulan itu dijangka menyampaikan deretan lagu hit termasuk Welcome to My Life, Perfect dan I’d Do Anything, selain beberapa kejutan buat peminat setia.

Sementara itu, Pengarah RK Live Asia, Rahul Kukreja menyifatkan konsert tersebut sebagai momen istimewa buat peminat tempatan.

“Ada sejarah kuat antara Simple Plan dan peminat di rantau ini.

“Dengan ulang tahun ke-25, ini merupakan konsert penuh emosi dari awal hingga akhir. Kami teruja membawa pengalaman itu kembali ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tiket konsert bermula dari harga RM358 tidak termasuk cukai hiburan 10 peratus dikenakan kerajaan negeri Selangor.

Menariknya, sebanyak USD1 daripada setiap pembelian tiket termasuk pakej VIP akan disalurkan kepada Simple Plan Foundation, sebuah badan kebajikan diasaskan pada 2005 bagi membantu golongan muda serta mempromosikan muzik sebagai medium ekspresi diri.

Sehingga kini, yayasan tersebut telah menyumbang lebih USD3 juta kepada pelbagai inisiatif kebajikan. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN