ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga Ghana direman selama tujuh hari selepas disyaki melanggar sebuah kereta dinaiki seorang anggota polis bersama keluarganya sebelum melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 221.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, permohonan reman itu dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Perintah reman hingga 11 Mei 2026 telah dibenarkan bagi membantu siasatan kerana suspek disyaki telah memandu secara berbahaya sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian selepas nahas berlaku.
“Kejadian berlaku pada 3 Mac 2026 kira-kira pukul 11.30 pagi melibatkan sebuah Perodua Myvi dinaiki seorang sarjan bersama lima ahli keluarganya dan kereta Honda City dipandu suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, sarjan yang terlibat merupakan anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati Honda City dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Myvi yang sedang bergerak di lorong tengah.
“Akibat kejadian itu, beberapa penumpang di dalam Myvi mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, manakala suspek turut cedera dan menerima rawatan.
“Selepas kejadian, suspek didapati tidak memberikan kerjasama untuk membuat laporan polis dan dipercayai telah menghilangkan diri dari lokasi,” ujarnya.
Katanya, suspek bagaimanapun berjaya dikesan dan ditahan di sekitar kawasan Serdang, Selangor semalam dan semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu, selain ujian saringan air kencing turut menunjukkan keputusan positif dadah. – KOSMO! ONLINE














