ALOR SETAR – Seorang mekanik yang ditahan susulan penemuan tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan di Baling, dekat sini pada Jumaat lalu mendakwa menyimpan senjata api itu sebagai koleksi peribadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan ke atas bengkel yang didiami suspek berusia 45 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel tersebut menemukan lima senjata api terdiri daripada dua pucuk pistol asli, sepucuk pistol tiruan serta dua laras senapang angin yang disyaki hasil buatan sendiri.
“Kita turut merampas 17 butir peluru berlainan jenis, 130 bebola besi, sarung pistol dan sebuah air compressor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek telah berkahwin namun belum mempunyai anak dan didapati tinggal bersendirian di premis tersebut.
“Hasil soal siasat mendapati senjata api itu dibeli dari negara jiran pada harga sekitar RM1,300 hingga RM1,500 dan dibawa masuk menerusi sempadan negara di Perak.
“Kita masih menyiasat berhubung kegunaan senjata api tersebut dan suspek mendakwa ia hanya sebagai koleksi peribadi,” ujarnya.
Namun begitu, katanya, siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan.
“Siasatan setakat ini mendapati senjata api tersebut tidak digunakan untuk melakukan jenayah seperti samun dan sebagainya, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya.
Tambahnya, hasil ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia direman selama lapan hari dengan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE














