fbpx
Gambar hiasan.

Langkawi tidak lesu, pelancong cecah 3.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Kerajaan Negeri Kedah menyangkal dakwaan kononnya sektor pelancongan di pulau peranginan ini lesu, sebaliknya merekodkan peningkatan ketara jumlah pelancong sejak 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung pulau peranginan itu tidak berasaskan fakta sebenar.

Katanya, statistik rasmi kemasukan pelancong ke Langkawi sentiasa boleh disemak menerusi laman web Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang turut memaparkan graf bulanan.

“Berdasarkan data LADA, sejak 2022 tidak pernah berlaku penurunan jumlah pelancong, malah angka itu meningkat setiap tahun.

“Pada 2021, jumlah pelancong adalah 1.09 juta ketika negara masih berdepan pandemik. Angka itu meningkat kepada 2.58 juta pada 2022,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah tersebut terus meningkat kepada 2.81 juta pada 2023 dan 2.90 juta pada 2024.

“Bagi 2025 pula sempena Tahun Melawat Kedah, angka rasmi melonjak kepada 3.22 juta pelancong.

“Jelas, tidak ada penurunan seperti yang cuba digambarkan, sebaliknya peningkatan berlaku setiap tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, LADA merupakan agensi Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan terhadap pembangunan pelancongan Langkawi, sekali gus menjadikan data tersebut berautoriti.

“Dengan peningkatan konsisten ini, tidak timbul soal Langkawi lesu. Dakwaan sedemikian hanya mewujudkan persepsi negatif yang tidak berpijak kepada fakta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kedah berada di tangga kelima tertinggi sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa bagi tahun 2024 dengan kehadiran 6.9 juta pelancong berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Bagi 2025, angka rasmi masih belum diumumkan, namun secara tidak rasmi kita menjangkakan jumlah pelancong ke Kedah melebihi tujuh juta orang,” katanya.

Semalam, Teresa dilaporkan mendakwa rekod pentadbiran Pas dalam sektor pelancongan membimbangkan dengan merujuk kepada kemerosotan industri pelancongan di Langkawi.

“Jangan jadikan Malaysia sebuah negara yang lesu pelancongannya seperti mana berlaku di Langkawi akibat imej dan dasar sempit.

“Fokus kita sekarang sepatutnya pertumbuhan ekonomi dan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026, bukannya politik bantahan berasaskan kaum dan agama yang hanya menjauhkan pelabur serta pelancong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN