PETALING JAYA – Seorang pemilik rumah sewa terkejut apabila kediamannya hampir menjadi ‘tong sampah’ akibat penyewa yang tidak bertanggungjawab.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, pengguna yang dikenali sebagai Lilostarx7 berkata, pada asalnya rumah tersebut disewa oleh pasangan suami isteri.
Namun katanya, selepas kedua-dua mereka bercerai, rumahnya itu kemudiannya disewa oleh anak perempuan pasangan berkenaan berusia 22 tahun.
“Asalnya rumah ni family (keluarga) yang duduk dan difahamkan family dah bercerai dan tinggal anak perempuan berusia 22 tahun yang menginap rumah ni.
“Selama anak perempuan dia duduk, memang kami tak pergi jenguk ataupun bertanya mengenai bil, maintenance. Disebabkan kepercayaan, kami lepaskan mereka,”kata individu tersebut.
Bagaimanapun kata Lilostarx7, dia kemudiannya telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai berkenaan rumah tersebut.
“Macam macam dah kami dengar. Dari pandangan orang luar, anak perempuan mereka sangat cantik dan pandai sangat berhias,”ujarnya.
Berdasarkan klip video dan gambar yang dikongsi individu tersebut, rumah sewanya itu seolah-olah seperti tong sampah.
Sisa makanan dan minuman basi serta pelbagai sisa lain berlonggokan memenuhi setiap ruang dalam rumah tersebut.
Begitu juga di bilik tidur pakaian bersepah di merata-rata tempat termasuk di atas lantai. – KOSMO! ONLINE














