KES keganasan rumah tangga yang dilaporkan sejak kebelakangan ini sehingga ada mangsa yang keguguran, benar-benar menyesakkan dada.
Mangsa diperlakukan dengan kejam oleh lelaki yang sepatutnya melindungi mereka. Ia tidak boleh dianggap sebagai isu biasa, apatah lagi statistik menunjukkan kes tersebut meningkat saban tahun.
Berdasarkan statistik, sebanyak 5,277 kes direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 7,116 kes pada 2024 dan terus bertambah kepada 7,391 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik tersebut adalah kes yang dilaporkan dan percaya masih banyak kes yang tidak dilaporkan.
Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa risiko dalam perkahwinan bukan lagi isu terpencil, sebaliknya realiti sosial yang perlu ditangani secara serius.
Dalam banyak kes yang dilaporkan, mangsa dikatakan hanya menyedari sisi sebenar pasangan selepas berkahwin termasuk sikap panas baran, kaki hutang atau sejarah jenayah yang disembunyikan.
Rentetan itu, ia membuka ruang perbincangan baharu iaitu sejauh mana wanita perlu ‘menyiasat’ latar belakang bakal suami.
Peguam Syarie, Amalina Adam berkata, kebiasaannya lelaki dan wanita akan berkenalan terlebih dahulu dalam tempoh tertentu sebelum bertunang dan berkahwin.
“Proses perkenalan atau taaruf iaitu berkenalan untuk tujuan bernikah ini hendaklah berterusan sehingga ke alam perkahwinan kerana tidak semua perkara dapat diketahui atau ditunjukkan sebelum pernikahan,” katanya.
Menurutnya, antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan membuat semakan latar belakang calon suami bagi mengesahkan maklumat sebenar seseorang individu.
Ujarnya, langkah itu merupakan langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku ‘kejutan’ selepas berkahwin.
“Proses ini biasanya melibatkan semakan pelbagai rekod dan sumber termasuk jenayah, kewangan, sejarah perkahwinan, pekerjaan, keluarga dan kesihatan individu.
“Di sini saya menegaskan bahawa setiap wanita wajar membuat semakan latar belakang calon suami bagi mengesahkan maklumat dan sejarah pasangan,” katanya.
Menurutnya, semakan latar belakang antaranya dapat membantu mengurangkan risiko berkahwin dengan individu yang mempunyai sejarah kesihatan mental berbahaya yang boleh membawa kepada kecederaan.
“Selain itu, ia juga dapat mengelakkan daripada berkahwin dengan individu yang mempunyai rekod jenayah lampau atau bebanan hutang kewangan yang serius,” ujarnya.
Jelasnya, wanita berhak mengetahui risiko yang mungkin dihadapi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Namun timbul persoalan sama ada tindakan ini menjejaskan kepercayaan dalam hubungan. Hakikatnya, kepercayaan tidak seharusnya dibina atas ketidaktahuan,” katanya.
Dari sudut undang-undang dan etika, katanya, kaedah terbaik mengenali latar belakang bakal pasangan adalah melalui saluran sah seperti bertanya kepada keluarga, rakan, majikan atau melalui proses risikan sosial yang tidak melanggar undang-undang.














