Rakyat Malaysia rata-rata memberi tumpuan kepada kenaikan harga bahan api khususnya petrol dan diesel berikutan penutupan Selat Hormuz, kesan langsung perang Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Minggu ini, fokus dunia beralih kepada peserta pelayaran Global Sumud Flotilla yang belayar untuk memberikan bantuan asas kepada penduduk Palestin sekali gus memecahkan kepungan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Di sebalik itu, ada perkembangan penting lain yang memberi kesan kepada orang ramai pada tahun ini, namun kurang hebahan oleh media Barat.
Perkembangan utama pertama yang jarang diuar-uarkan ialah teknologi kepintaran buatan (AI) enjin carian popular, Google kini boleh meramal minda anda sebelum anda menekan papan kekunci telefon pintar atau komputer.
Ini dilakukan berdasarkan analisis data dan sejarah. Isu ini mengundang kontroversi, khususnya tentang privasi pengguna.
Berita lain melibatkan negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang di Geneva bagi mencapai persetujuan tambahan kepada Perjanjian Pandemik menjelang Perhimpunan Kesihatan Sedunia bulan depan.
Perjanjian tersebut yang belum lagi ditandatangani, akan menyerahkan ‘kedaulatan’ kesihatan sesebuah negara kepada satu badan sahaja iaitu WHO bagi memerangi pandemik secara bersama, berkesan dan pada kadar segera.
Situasi utama lain yang kurang diberi tumpuan pada 2026 adalah Amerika Syarikat sedang menguji dron pembunuh autonomi dan dron pengangkut, petunjuk bahawa peperangan di masa hadapan akan jauh berubah dan kurang atau tidak melibatkan tentera, namun membawa kemusnahan atau kematian lebih dahsyat berbanding sebelumnya.
Di Eropah, Kesatuan Eropah menggundi untuk mengharamkan penggunaan wang tunai bagi membendung jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan aktiviti keganasan.
Bermula 10 Julai 2027, orang ramai tidak lagi boleh membayar tunai untuk barang dan perkhidmatan berharga €10,000 (RM46,362) atau lebih tinggi.
Bayaran untuk barangan atau perkhidmatan lebih mahal perlu dibuat dengan kaedah yang meninggalkan jejak dan boleh dikesan oleh pihak berkuasa.
Perkembangan ini menjadi petunjuk kepada peralihan daripada wang tunai yang berlaku secara beransur-ansur.
Kembali ke Amerika Syarikat, pihak berkuasa persekutuan negara itu meluluskan penjualan daging yang dibiakkan di dalam makmal yang kini memasuki rantaian makanan. Sehingga kini, tujuh atau lapan negeri di Amerika menentang penjualan tersebut.
Penyokong produk yang dilabel selamat oleh pihak berkuasa Amerika itu memberi alasan kelestarian alam sekitar, manakala penentangnya berkata, daging dihasilkan di dalam makmal akan merosakkan industri ternakan negara.
















