PETALING JAYA – Sebuah lori mencetuskan detik cemas kepada pengguna jalan raya lain apabila dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing serta terbalik di atas laluan lebuh raya.
Menerusi satu video tular, kelihatan lori yang berada lorong kiri itu pada mulanya mahu mengelak daripada terlanggar sebuah kenderaan di hadapannya.
Namun, lori tersebut dilihat terbabas ke pembahagi jalan kiti sebelum kenderaan berat itu dilihat sudah terbalik.
Bagaimanapun, kejadian ajaib berlaku apabila lori tersebut berjaya kembali stabil di atas tayarnya sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong kanan berhampiran insiden tersebut dilihat sempat brek mengejut sebelum menyambung semula perjalanannya dengan menghidupkan lampu kecemasan.
Kejadian dramatik itu turut berlaku di hadapan beberapa kenderaan lain yang sedang melalui laluan berkenaan, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pengguna jalan raya.
Rakaman kamera papan pemuka berkenaan difahamkan adalah insiden lama yang berlaku pada 20 Januari tahun lalu.
Berdasarkan komen lama ditinggalkan kenalan kepada pemandu tersebut, dia berkata, mangsa dengan segera memutar stereng ke kanan untuk menaikkan semula badan lori yang terbalik.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang luar biasa selain bersyukur kerana tiada kemalangan lebih serius berlaku.
“Ini betul-betul maksud jatuh bangun sendiri,” kata Halim.
“Nasib baik pemandu belakang sempat kawal kenderaan, kalau tidak mungkin jadi lebih buruk,” ujar Tasya.
“Apalah agaknya amalan pemandu lori. Berpantang ajal sebelum maut,” kata Yus. – KOSMO! ONLINE
@fadz1eeKemalangan 20 JAN 2025














