PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tanpa henti memohon maaf selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sehingga merempuh pagar sebuah rumah dan sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian yang tular di media sosial, hari ini.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Threads oleh Sobri_Sob93, remaja tersebut yang tidak berbaju dilihat berada dalam keadaan trauma dan menggigil ketakutan selepas menyedari telah melakukan rempuhan kuat yang mengakibatkan pagar besi rumah berkenaan tercabut.
“Sorry (minta maaf) cik, sorry tau cik nanti saya ganti,” kata remaja tersebut apabila keluar dari kereta.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah reaksi pemilik rumah dan kenderaan tersebut, pasangan suami isteri yang dilihat sangat bersabar dan langsung tidak menunjukkan perasaan marah terhadap remaja berkenaan.
Meskipun berdepan kerosakan harta benda, pemilik rumah tersebut dengan tenang mengangkat motosikal yang jatuh, serta berusaha membetulkan semula pagar besi yang telah roboh dirempuh kereta.
Rata-rata pengguna turut memuji sikap kedua-dua pasangan tersebut kerana lebih mengutamakan keselamatan dan tidak terburu-buru memarahi remaja berkenaan.
“Ya Tuhan, pinjamkan aku perangai abang dan kakak ni kejap, boleh berlemah lembut walaupun kerosakan banyak makan modal,” ujar _Usernotbeauty.
“Masalahnya jiran-jiran pun tenang juga. ‘Taman Tenang’ agaknya,” seloroh Yan.g_Pernah.
“Kalau orang lain rasa kena dah budak ni. Moga saya boleh jadi setenang ini,” tambah Suryatinabilah pula. – KOSMO! ONLINE














