DENGUNGAN itu berselang-seli dengan deruan halus kereta kawalan jauh (RC) yang memecut, kemudian membrek tajam sebelum memasuki selekoh-selekoh sempit.
Setiap pergerakan kelihatan seperti satu aliran yang tersusun, seolah-olah trek itu sendiri sedang bernafas bersama perlumbaan yang sedang berlangsung.
Beberapa kereta hampir menyentuh penghadang di tepi trek, namun masih sempat dikawal dengan tepat sebelum kembali stabil di garisan perlumbaan.
Di tengah-tengah kekalutan bunyi enjin kecil dan ‘jeritan’ tayar yang bergeser di permukaan trek, lelaki berusia 58 tahun, Mohd. Ridzuan Ahmad berdiri dengan penuh fokus, kedua-dua tangannya kemas menggenggam alat kawalan.
Matanya tidak berkedip, setiap pergerakan kereta RC miliknya diikuti dengan teliti seolah-olah seluruh dunia di hadapannya bergantung pada setiap sentuhan jari.
Menurut lelaki yang merupakan pesara itu, perasaan mengawal kenderaan itu membuatkan dia terasa seakan-akan kembali ke zaman kanak-kanak.
“Dari kecil, saya memang minat kereta, cuma masa kecil dahulu hanya mampu tengok sahaja memandangkan RC mahal dan saya tidak mampu untuk membelinya.
“Saya bermula dengan menyertai komuniti RC dengan ATRC (Ampang Tasik RC Club) sekitar tahun 2018 selepas saya bersara.
“Mula-mula sekadar hobi biasa, namun minat saya menjadi semakin mendalam dan mula menyertai pelbagai perjumpaan RC di sekitar Lembah Klang.
“Melalui aktiviti sebegini, ia bagaikan menebus semula zaman kanak-kanak saya dahulu,” katanya kepada CitaRasa.

Mohd. Ridzuan merupakan salah seorang peserta perjumpaan komuniti RC yang berlangsung di Silver Stone RC Track, PM Toyland, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Komuniti RC tersebut dikenali sebagai Olago Hobby Team yang ditubuhkan sekitar awal tahun 2025 dengan memiliki lebih 800 orang ahli dari seluruh Malaysia.

Apa yang menarik, kebanyakan peminat ‘kereta-kereta mainan’ ini terdiri daripada lelaki-lelaki dewasa. Kanak-kanak yang kelihatan di program tersebut rata-ratanya kerana mengikuti bapa masing-masing, manakala para isteri datang melihat anak-anak semasa suami melakukan hobinya.
Majoriti ahlinya lelaki-lelaki berusia antara 30-an hingga 60-an.
Tujuan penubuhan komuniti ini adalah untuk menyatukan peminat RC, mengeratkan hubungan antara ahli komuniti serta berkongsi minat dan pengalaman dalam hobi ini.
Dari segi struktur, komuniti ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Central (Pusat), Utara, Selatan dan Pantai Timur bagi memudahkan pengurusan serta penyelarasan aktiviti di setiap kawasan.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh komuniti ini termasuk lawatan ke negeri-negeri bagi bertemu dengan peminat RC di seluruh Malaysia.
Di media sosial juga, minat RC dapat dilihat dalam kalangan netizen. Rata-ratanya menyifatkan RC sebagai ‘permainan bapa-bapa’.
Seorang pengguna TikTok dengan nama Fuzz menulis di videonya yang seronok bermain kereta kawalan jauh: “Dah jadi bapa ni baru merasa.”
Dalam pada itu, peserta paling muda di dalam trek Silver Stone RC pada hari itu, Aaron Dass, 13, mengakui gementar apabila perlu berlumba dengan peserta-peserta dewasa.
“Saya minat RC bermula sejak umur 11 tahun setelah menonton video dan perlumbaan RC.
“Saya mula mengambil hobi ini dengan lebih serius selepas memperoleh kereta RC pertama pada tahun 2025.
“Apabila saya tahu ada perjumpaan pada minggu ini, saya terus ajak ayah saya datang dan saya agak terkejut kerana saya seorang sahaja kanak-kanak yang bertanding,” katanya.

Untuk pengetahuan, kenderaan RC dibahagikan mengikut skala atau nisbah kepada kereta sebenar dengan setiap skala mempunyai fungsi dan kumpulan pengguna tersendiri. Secara asasnya, konsep skala merujuk nisbah pengurangan saiz daripada kereta sebenar.
Sebagai contoh, skala 1:10 bermaksud model tersebut adalah satu per sepuluh lebih kecil daripada saiz kereta sebenar.
Skala 1:10 merupakan antara yang paling popular kerana saiznya yang lebih kecil, kos yang lebih rendah serta mudah dikendalikan.
Skala 1:7 pula lebih besar dan biasanya digunakan untuk model tertentu seperti off-road berskala besar atau model berkuasa tinggi, tetapi tidak seumum skala 1:10 dalam kategori perlumbaan standard.
Terdapat beberapa kategori utama dalam dunia RC, termasuk touring, rally, crawler, drift, speedrun dan auto show.
Kategori touring digunakan di permukaan rata atau trek dan memberi tumpuan kepada kestabilan serta kawalan pemanduan.
Rally pula digunakan di permukaan bercampur seperti jalan dan kawasan berumput dengan ciri yang lebih lasak.
Kategori crawler direka untuk mengharungi halangan seperti batu, tanah dan permukaan lasak dengan kelajuan rendah tetapi memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi.
Drift pula menekankan kemahiran mengawal kenderaan ketika melakukan gelongsoran tayar di trek khas atau kawasan tertutup.
Sementara itu, speedrun merupakan aktiviti dalam komuniti RC yang memberi tumpuan kepada kelajuan maksimum di laluan lurus, biasanya di kawasan jalan tertutup atau laluan sepanjang kira-kira satu kilometer.
Kategori auto show atau kereta pameran pula lebih menumpukan kepada aspek estetika seperti kemasan cat, aksesori dan diorama.
Harga RC sangat bergantung kepada skala, jenis dan tahap penggunaan, tetapi secara umum bermula sekitar RM100 dan boleh meningkat sehingga puluhan ribu ringgit untuk setup profesional.
Menurut wakil Olago Hobby Team, Fazza Syahir Mohd. Zulkifli, RC dilihat sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan kerja dalam kalangan penggemarnya.
“Aktiviti ini berfungsi sebagai ruang untuk mengekspresikan emosi melalui kawalan kenderaan RC kerana lelaki tidak selalu meluahkan perasaan secara verbal seperti wanita.
“Antara nilai penting yang diterapkan dalam hobi ini termasuklah elemen keseronokan, persahabatan dan sikap saling membantu dalam kalangan ahli komuniti.
“Selain itu, hobi RC juga dianggap sebagai aktiviti yang sihat kerana melibatkan pergerakan, tumpuan dan kemahiran teknikal.
“Dalam sesetengah keadaan, hobi ini juga membuka peluang kepada aktiviti ekonomi seperti perniagaan kecil berkaitan barangan dan aksesori RC,” katanya.
















