KOTA BHARU – Seorang gadis yang dibunuh dengan 61 tikaman dari muka hingga ke kaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam dipercayai sempat keluar makan bersama dua lelaki yang diberkas.
Menurut sumber, mangsa yang tinggal di sebuah kondominium di sini dikatakan keluar pada sebelah siang bersama salah seorang suspek berusia 19 tahun dengan menaiki kereta jenis Honda City sebelum dihantar semula ke kediamannya.
“Pada waktu malam, mangsa dipercayai keluar sekali lagi bersama suspek kedua yang disyaki suspek utama iaitu penuntut kolej vokasional dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
“Mereka dikatakan makan di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat. Mangsa sempat memuat naik status makanan di WhatsApp kira-kira pukul 11 malam sebelum mayatnya ditemukan pada pukul 12.30 tengah malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber memberitahu, setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan difahamkan, suspek kedua baru mengenali mangsa.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan iaitu Honda City dan Perodua Bezza turut dirampas bagi membantu siasatan.
Tambahnya, dua warga emas iaitu pasangan suami isteri yang ditahan dipercayai ibu bapa kepada salah seorang suspek yang menetap di Ketereh di sini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kematian gadis berusia 19 tahun sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh.
Suspek dua remaja lelaki berusia 19 tahun direman tujuh hari bermula semalam, manakala lelaki berusia 66 tahun dan isterinya berusia 60 tahun pula direman tiga hari sehingga Isnin ini. – KOSMO! ONLINE














