fbpx
MOHD. HISHAM (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat Operasi TH Mekah hari ini.

Jemaah haji Malaysia pertama meninggal dunia, rebah di Masjidil Haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Seorang lelaki dari Pahang menjadi jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci hari ini selepas rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Allahyarham yang berusia 65 tahun ketika itu berada di dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan perubatan segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah.

“Bagaimanapun, jemaah tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari akibat komplikasi jantung (cardiac arrest),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Hisham memaklumkan, jemaah itu yang berasal dari Pahang tiba ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bersama isterinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) telah membantu menguruskan segala urusan pengebumian Allahyarham.

“Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas solat Maghrib dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaea, Mekah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham memaklumkan, TH turut memaklumkan bahawa kebajikan isteri Allahyarham sedang diberi perhatian, selain bantuan sokongan oleh petugas kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadah haji.

Selain itu, pihak TH juga akan mengadakan majlis bacaan tahlil bersama jemaah haji lain dalam masa terdekat.

Mohd. Hisham berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN