fbpx
GANDINGAN Noraqilah dan Zi Yu paling mencuri tumpuan pada aksi Piala Uber kali ini dengan aksi yang cukup ampuh. - FB BAM

Skuad Uber tetap membanggakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD badminton wanita kebangsaan menimba banyak pengalaman berguna meskipun sudah menamatkan cabaran pada saingan Piala Uber 2026 yang berlangsung di Horsens, Denmark selepas tersingkir di suku akhir.

Pada perlawanan menentang China yang berlangsung di Forum Horsens, kelmarin, Malaysia terpaksa akur tewas dengan keputusan 0-3 tetapi barisan pemain muda negara sudah memberikan segala-galanya.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky menyifatkan aksi dipamerkan barisan pemain yang dibawa pada edisi kali ini seolah-olah memberi gambaran kepada skuad Piala Uber akan datang.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pemain-pemain muda negara, Malaysia mampu tampil lebih ampuh pada edisi akan datang, sekali gus mencerahkan peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Ini memang sesuatu yang kita boleh lihat bahawa skuad Piala Uber kita ini adalah untuk dua tahun ke hadapan. Pencapaian melangkah ke pusingan suku akhir memang menepati sasaran yang ditetapkan.

“Berdepan China dengan majoriti pemain muda, memang kita bermain tanpa sebarang tekanan dan tidak rugi apa-apa. Oleh itu, memang mereka dapat menampilkan aksi yang sangat positif,” katanya kepada BAMTV.

Sementara itu, Rexy mengakui dua beregu muda, Carmen Ting-Ong Xin Yee dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan memiliki potensi untuk mencapai standard Pearly Tan-M. Thinaah, namun ia memerlukan kerja keras daripada mereka.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sampai ke tahap Pearly dan Thinaah kerana ia tidak boleh dinilai dalam satu kejohanan. Masih ada perkara perlu diperbetulkan dalam satu tahun ke depan ini.

“Kalau dilihat dari segi cara bermain dan kebolehan, memang boleh untuk sampai ke tahap Pearly-Thinaah tetapi masih memerlukan masa untuk memperbaiki kekurangan yang ada,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN