fbpx
Muhammad Shahrul berkongsi perkembangan terkini dia dan pasukan yang berjaya melepasi sekatan tentera Israel dan sedang menuju ke perairan Greece.

Pecut maksimum, CEO Kapal lolos sekatan Israel dalam kabus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kapal yang dikendalikan pakar maritim, Kapten Muhammad Shahrul Nizam atau dikenali sebagai CEO Kapal dilaporkan masih terselamat daripada sekatan tentera Israel di perairan antarabangsa ketika meneruskan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza.

Menerusi satu kemas kini di media sosial, Muhammad Shahrul memaklumkan kapal berkenaan berjaya mengelak daripada dikejar pihak tentera Israel selepas melalui kawasan yang dilitupi kabus tebal awal pagi tadi.

Menurutnya, keadaan tersebut secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pasukannya untuk meneruskan pelayaran pada kelajuan maksimum.

“Alhamdulillah, Allah bagi laut setenang-tenangnya. Tapi mereka (tentera Israel) kejar dari belakang.

“Tapi disebabkan Allah juga maha kuasa, Allah bagi ‘fogging’ (asap tebal). Pagi-pagi ini penuh asap,” katanya.

Muhammad Shahrul berkata, situasi berkabus itu membantu mengurangkan jarak penglihatan sekali gus menyukarkan pergerakan kapal tentera Israel yang cuba memintas.

Dalam masa sama, Muhammad Shahrul mengakui kapal miliknya terpaksa dipacu pada tahap paling laju bagi memastikan kedudukan mereka kekal selamat.

“Kapal saya tengah pecut dalam keadaan sangat laju, saya tak boleh nak cerita berapa knot, cukup kalian tahu ia speed (kelajuan) yang maksimum. Kuasa kuda kapal mereka (tentera Israel) memang tinggi,” ujarnya.

Difahamkan, kapal tersebut kini sedang bergerak menuju ke perairan Greece selepas berjaya melepasi sekatan rejim Zionis.

Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Katanya, mereka yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia (6 petang hingga 4 pagi waktu Greece), dengan kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera rejim Zionis Israel (IOF) sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN