fbpx
Mohd. Khalid pada sidang akhbar Operasi Cyber Guardian 2026, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Krisis Negeri Sembilan: Polis minta semua pihak bertenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak agar tidak mengeruhkan keadaan susulan krisis melibatkan adat atau Undang Negeri Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, isu tersebut mempunyai kaitan rapat dengan adat dan budaya negeri itu yang perlu ditangani secara berhemah.

Katanya, pihaknya akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Kita (polis) terima beberapa laporan melibatkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat menyuarakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Memetik Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Setiausaha DUN pada 27 April lalu.

Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khalid berkata, setakat ini belum ada individu lain dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan atau sabotaj kestabilan negara.

“Beberapa pihak telah dikenal pasti dan mungkin akan dipanggil bagi membantu siasatan. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN