SEREMBAN – Balai Undang Luak Sungei Ujong menerima surat pengosongan kediaman rasmi itu daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan petang tadi.
Dokumen tersebut dihantar seorang wakil pejabat SUK kepada wakil Balai Undang Luak Sungei Ujong pada pukul 4.50 petang tadi. Kehadiran wakil itu menarik perhatian media apabila beliau yang berbaju batik menunggang motosikal untuk menyerahkan surat tersebut.
Wakil Pejabat SUK bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai inti pati surat itu dan memaklumkan beliau hanya diarahkan untuk menghantar dokumen ke Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Sementara itu, wakil Balai Undang Luak Sungei Ujong mengesahkan menerima surat pengosongan balai berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak kami akan merujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan semakin meruncing apabila kerajaan negeri mengarahkan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan merujuk kepada keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April lalu. Ia ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.-KOSMO! ONLINE.














