fbpx
Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita dengan beg penuh troli dipercayai tinggal di KLIA.

Kerusi KLIA jadi katil gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Jika sebelum ini beberapa lokasi di sekitar ibu negara menjadi tempat bermalam buat gelandangan, namun kini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pula menjadi ‘rumah sementara’ mereka.

Sekurang-kurangnya lima gelandangan termasuk lelaki dan wanita dengan ada antaranya warga emas ‘menghuni’ KLIA sejak lebih setahun lalu.
Golongan ini dikatakan tidak akan menetap di KLIA dalam tempoh lama bagi mengelakkan ditahan, sebaliknya akan berpindah randah termasuk menjadi gelandangan di sekitar ibu negara.

Tinjauan Kosmo! selama hampir tiga jam di KLIA mendapati, golongan tersebut menjadikan kerusi di balai pelepasan sebagai ‘tempat tidur’ dan tandas di tingkat empat tempat untuk membersihkan diri.

Menurut seorang pekerja restoran yang mahu dikenali sebagai Ahmad, kelibat beberapa individu didakwa gelandangan yang membawa beg dan troli boleh dikesan di kerusi awam di ruang balai pelepasan dan anjung tinjau.

“Saya sudah bekerja di sini dalam tempoh dua tahun, tetapi sejak setahun lalu saya melihat individu sama berada di KLIA dan mendiami kawasan seperti dekat balai pelepasan.

“Biasanya mereka tidak duduk dalam tempoh lama dan sering berubah lokasi seperti beberapa bulan di balai pelepasan, kemudian hilang sebelum muncul kembali selepas itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Dakwanya, individu ber­kenaan juga pernah ditegur oleh kakitangan lapangan terbang, namun teguran itu dipandang sepi apabila mereka muncul kembali selepas beberapa bulan hilang.

“Selain warga emas, ada juga seorang wanita yang didakwa tinggal di KLIA lebih setahun. Dia bawa banyak beg dan troli dan sering dilihat sekitar kawasan balai pelepasan serta anjung ­tinjau.

“Kami juga pernah menegur dia sebelum ini kerana mengambil gula di restoran, namun tidak diendahkan selain turut melen­ting apabila ditegur,” dakwanya yang memaklumkan wanita itu boleh bertutur bahasa Melayu.

Terdahulu, tular satu video di aplikasi Tiktok yang mendedahkan seorang wanita didakwa gelandangan telah bertindak agresif dengan memarahi penumpang di KLIA.

Berdasarkan video dimuat naik itu, wanita berkenaan dilihat sedang bertengkar dengan individu lain selepas dia didakwa memarahi kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar.

Sementara itu, seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Wong, 70, berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di KLIA selepas tidak lagi mampu bekerja.

“Saya bukan selalu berada di KLIA, adakalanya saya akan duduk di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan beberapa kawasan lain.

“Saya tidak berkahwin dan tidak mempunya keluarga, jadi saya memilih untuk hidup sendirian, adakalanya di TBS, kadang-kadang di KLIA,” katanya.

Jelas lelaki itu yang pernah bekerja sebagai buruh binaan, apabila berada di KLIA, dia juga akan membersihkan diri di tandas di tingkat empat yang mempunyai kemudahan bilik air.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang, saya buat hal sendiri. Saya juga tidak meminta duit kepada penumpang, jika mereka beri, baru saya ambil,” ceritanya.

Pada masa sama, warga emas itu turut mendakwa terdapat beberapa individu yang tinggal di KLIA, namun tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keberadaan mereka.

“Kadang-kadang saya lihat mereka tidur di kerusi dekat tingkat lima, tetapi tidak tahu secara terperinci mengenai latar belakang mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN