fbpx
KONSERT Malam FYP Timur gabung tiga nama besar dari Indonesia yang terkenal dengan karya tular di media sosial serta carta penstriman digital. - SYAKIR RADIN

Malam FYP Timur bikin candu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAI dijangka Konsert Malam FYP Timur membabitkan tiga nama besar dari Indonesia yang terkenal dengan karya tular dalam media sosial serta carta penstriman digital meraih sambutan hangat.

Kedatangan Silet Open Up, Faris Adam dan Ecko Show ke Malaysia sememangnya dinantikan Gen Z serta kelompok Millennial yang memenuhi Zepp KL baru-baru ini.

Tidak menghampakan, persembahan dibuka Eco Show atau Istianto Eko Poernomo yang memanaskan pentas dengan lagu Orang Baru Lebih Gacor sekali gus mengajak penonton berdansa.

Lagu berhantu

Memilih Jomblo sebagai seleksi kedua, penyanyi asal Sulawesi itu menghadiahkan dendangan yang dihasilkan ketika dia masih solo diikuti lagu Kids Jaman Now.

Sempat berkongsi cerita, dia mengakui terinspirasi mencipta lagu tersebut selepas melihat perlakuan anak muda zaman sekarang yang agak nakal.

Sebelum berundur, Ecko Show mendendangkan satu lagi seleksi berhantunya yang popular di platform TikTok, Ih Abang Jahat.

Tidak membiarkan peminat menunggu, Pendatang Baharu Terbaik pada Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2025, Fariz Adam tampil dengan lima lagu iaitu Gamon Lucu Lucu, Salting Gila, Layang Layang, Lamu dan Dola yang menggandakan lagi keterujaan ramai.

Sememangnya fenomena muzik dari Timur Indonesia tidak menghampakan malah Zepp KL menjadi lantai tari buat khalayak yang datang.

Bagai pantas masa berlalu, Silet Open Up yang sohor dengan lagu Tabola Bale pula mendominasi ruang bersama repertoire yang mesra telinga iaitu Kaka Main Salah, Tambah Gaga, Gaya La.a, Ubur-Ubur serta Ngapain Repot.

Setiap kali lagu diperdengarkan, khalayak menjerit teruja apabila seleksi yang selama ini diikuti di platform digital dipersembahkan di depan mata.

Aura Silet Open Up, 32, yang dikatakan antara pencetus gelombang kebangkitan muzik Indonesia Timur cukup gah mata ramai.

Fenomena

Seperti dua rakan seperjuangan yang lebih dulu menghiburkan penonton, setiap dendangan komposer merangkap rapper itu turut dinyanyikan penonton beramai-ramai.

Sebelum tirai ditutup, ketiga-tiga mereka berkongsi pentas dengan penyanyi Malaysia, Sonna One menyampaikan lagu Bercanda.

Seperti dijanjikan Ecko Show pada awal penampilan, semua seleksi paling digemari bakal dipersembahkan di slot terakhir yang menyaksikan mereka bertiga bergilir menyampaikan dendangan hit masing-masing.

Pastinya lagu wajib yang menggandakan lagi keterujaan penonton iaitu Taguling-guling, Body Pata Pata, Cinta Realistis, Tor Monitor selain Mashup untuk lagu Timurnesia.

Silet Open Up sekali lagi meraih sorakan gemuruh sebaik lagu yang menggabungkan ritma moden dengan sentuhan tradisional Minang dipilih sebagai penutup persembahan.

Berdasarkan sambutan, tidak hairan lagu itu mencetuskan fenomena dengan 475 juta penstriman Spotify dan 350 juta tontonan YouTube.

Fariz Adam juga tidak kalah apabila tampil dengan Stecu Stecu yang tersenarai dalam Global Top 20 Songs iaitu pengiktirafan Tiktok bagi lagu paling banyak digunakan sebagai latar konten sepanjang 2025.

Apa pun, percaturan penganjur, Gaga Entertainment merealisasikan perayaan budaya ini berjaya apabila menghimpunkan penonton dari pelbagai pelosok tempat termasuk Sabah, Sarawak serta peminat Indonesia sendiri.

Dari fenomena digital, produksi terbabit berjaya membawa seleksi yang popular di laman sosial ke pentas realiti sehingga penonton kecanduan untuk mengikuti konsert seumpamanya sekali lagi.

Rata-rata menyatakan berbaloi membeli tiket serendah RM188 untuk mengikuti secara live seleksi yang selama ini ‘berhantu’ di FYP (For You Page) laman sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN