PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantah penganjuran ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana dikhuatiri membawa kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan menegaskan, penganjuran program berunsur hiburan itu dilihat tidak selari dengan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Katanya, Jawi menzahirkan kekesalan terhadap penganjuran festival itu dan berharap penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaan program berkenaan.
“Merujuk Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan’, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan scara jelas Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.
“Justeru, Jawi akan menganjurkan bacaan yasin dan solat hajat serentak di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat maghrib hari ini bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Jawi akan mempergiatkan pelbagai program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen media sosial dan khutbah Jumaat.
“(Ia bertujuan) kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam program berunsurkan maksiat,” katanya.
“Jawi memohon kerjasama semua pihak bagi memastikan sebarang penganjuran program hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan, festival tersebut merupakan sebahagian daripada langkah proaktif dalam menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan imej negara. – KOSMO! ONLINE














