HULU TERENGGANU – Niat murni seorang penderma organ, Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, bukan sahaja memberi sinar baharu kepada tiga pesakit malah turut membuka mata masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ di negara ini.
Isteri Allahyarham, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32, berkata, pada awalnya keluarga agak berat hati untuk bersetuju dengan proses pendermaan organ tersebut, namun akhirnya reda selepas memikirkan manfaat besar yang diperoleh para penerima.
“Pendermaan organ akan menyalurkan pahala berterusan kepada arwah (Muhammad Syukri). Dalam masa sama, kita juga dapat membantu menyelamatkan nyawa insan memerlukan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Peroh, Ajil di sini semalam.
Nurul Hanis Amelia berkata, pengalaman itu bukan sahaja menguji emosi keluarga malah turut memberi kesedaran baharu tentang besarnya nilai pendermaan organ yang sebelum ini mungkin kurang difahami masyarakat.
Katanya, dia turut tidak menyangka keputusan tersebut menyebabkan jenazah dan pusara arwah suaminya diziarahi ramai insan yang tersentuh dengan kisah pendermaan organ di media sosial.
“Saya terkejut ramai datang ziarah, walaupun tidak mengenali arwah secara peribadi,” katanya.
Sementara itu, Nurul Hanis berkata, hati Allahyarham berjaya dipindahkan kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang kini dilaporkan semakin stabil selepas menjalani pemindahan organ tersebut.
Dia berkata, dua buah pinggang milik arwah suaminya pula masing-masing menyelamatkan seorang wanita berusia 47 tahun dan seorang lelaki berumur 19 tahun. – KOSMO! ONLINE














