LUMUT – Lebih 500 peminat bola sepak Manjung teruja dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan Jerman, Mesut Ozil yang mengunjungi Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung (PBDM), Datuk Rashidi Ibrahim berkata, kehadiran Ozil ke program klinik bola sepak tersebut memberi semangat kepada peminat sukan tersebut yang datang bukan sahaja dari Manjung tetapi negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
“Klinik bola sepak anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, PBDM dan agensi serta jabatan daerah ini merupakan sebahagian daripada program ‘government to government’ antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.
“Sebanyak 28 buah sekolah dan tujuh akademi bola sepak terlibat dengan program ini, namun ada juga yang datang dari luar negeri seperti Johor sekali gus meningkatkan jumlah penyertaan klinik bola sepak tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan anak Presiden Turkiye, Bilal Erdogan hadir sama ke program Klinik Bola Sepak Bersama Mesut Ozil berkenaan.
Ozil sebelum ini berada di Kuala Lumpur sempena Persidangan Kepimpinan Malaysia-Turkiye 2026 sebelum melakukan lawatan kerja rasmi di Pulau Pinang dan negeri ini.
Rashidi berkata, pada program tersebut, Ozil yang juga bekas bintang pasukan Arsenal tersebut berkesempatan bertemu dengan para peminatnya selain menyaksikan persembahan kebudayaan di stadium tersebut.
“Dia juga meluangkan masa di padang dengan para peserta klinik bola sepak berkenaan dan mengadakan demonstrasi di hadapan pengunjung program itu,” katanya.
Ozil turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang mengunjungi klinik bola sepak berkenaan.
“Terima kasih di atas jemputan ini dan saya berasa sangat gembira dapat berada di sini. Terima kasih semua kerana datang (ke klinik bola sepak), saya sangat mengharganinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














