PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru orang ramai agar terus mendoakan keselamatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Khairil Izzani Khaizalulinurdin, yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Puncak Alam.
Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejadian tersebut bukan sekadar laporan operasi mencari dan menyelamat (SAR), sebaliknya melibatkan sebuah keluarga yang sedang melalui ujian berat dengan penuh harapan dan kebergantungan kepada doa.
“Di sebalik operasi yang sedang berjalan, ada ibu bapa yang menanti dengan penuh debaran, ada keluarga yang menanggung rasa tidak terungkap dengan kata-kata,” katanya dalam satu hantaran di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa sebak melihat situasi di lokasi kejadian apabila orang ramai dilihat berkumpul, memerhati setiap aliran air dan longkang dengan harapan mangsa dapat ditemukan.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha penduduk setempat yang mengadakan solat hajat beramai-ramai sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap nasib kanak-kanak tersebut.
“Lebih menyentuh hati, seorang ibu dikhabarkan sempat memasak makanan kegemaran anaknya dan membawanya ke lokasi pencarian. Kasih seorang ibu tidak pernah terhenti walau diuji sehebat ini,” katanya.
Zulkifli berkata, tindakan bapa mangsa yang sanggup meredah air dan longkang demi mencari anaknya juga mencerminkan kasih seorang ayah yang tidak mengenal takut.
“Semoga anak ini segera ditemui walau di mana pun dia berada, dan semoga kedua ibu bapanya serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan mangsa yang hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai bermain bola bersama dua rakannya ketika hujan lebat di lokasi kejadian petang kelmarin.- KOSMO! ONLINE














