fbpx
Amira (kanan) ingin memberi fokus kepada keluarga bersama suami Fattah Amin dan juga bidang nyanyian. Foto FIRDAUS JOHARI

‘Biar mereka yang berbakat’ – Amira Othman bersara berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Atas alasan mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian dan keluarga, penyanyi Amira Othman membuat pengumuman mahu berundur daripada arena lakonan.

Begitupun Amira atau nama lengkapnya, Nadia Amira Othman, 32, berkata, dia tetap akan memenuhi permintaan muncul dalam drama jika membabitkan komitmen dengan sesuatu jenama.

“Memang saya sudah tak berlakon lagi. Mungkin sebab saya tidak mempunyai minat mendalam dalam bidang ini berbanding arena muzik.

“Kalau komedi ringan mungkin boleh, tetapi watak berat biarlah diberikan kepada mereka yang lebih berbakat. Macam telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul terbitan saluran UTV, ini pun sebab saya dan suami menjadi duta jenama Amber.

“Jadi saya sedia masuk set penggambaran untuk memenuhi komitmen yang sudah dijanjikan. Apa pun, fokus saya adalah nyanyian dan keluarga,” katanya pada majlis tayangan Poskad Cinta Dari Istanbul, semalam.

Isteri kepada aktor Fattah Amin itu juga berkata, pembabitan dalam naskhah UTV Original itu juga teruja untuk dipenuhi atas dorongan suaminya.

“Sudah tentu saya setuju menjadi sebahagian daripada telefilem ini kerana dapat berlakon bersama suami, dan ini juga rezeki.

“Penerbitnya, Datuk Nana pula sangat fleksibel dalam menyusun jadual kerja selain memahami keadaan saya ditambah barisan pelakon lain yang bagus,” ujarnya

Pada masa sama, Amira mengakui pengalaman berlakon sebelum ini dianggap sebagai proses pembelajaran yang menguji kemampuan diri dalam meneroka cabang seni selain muzik.

Namun, kekangan masa dan tempoh penggambaran yang agak panjang juga menjadi antara faktor dia memilih untuk tidak lagi aktif berlakon.

“Kita tahu berlakon, terutama drama bersiri, sangat memakan masa. Saya tabik pelakon yang mampu bertahan lama di set penggambaran.

“Kalau menyanyi, persembahan mungkin hanya setengah jam. Jadi, lebih baik saya fokus kepada apa yang paling saya minati,” katanya.

Selain Amira Dan Fattah, Poskad Cinta Dari Istanbul yang ditayangkan eksklusif di aplikasi UTV pukul 9 malam ini turut membariskan Nora Danish, Bell Ngasri dan Sherry Alhadad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN