Pulau Besar di Kuala Selangor merupakan salah satu pulau yang pemancing boleh naik dan memancing di atasnya. Antara spesies ikan yang menjadi target popular di sini adalah tamok.
Pulau ini terletak kira-kira 8 kilometer dari Jeti Jeram dan berada berhampiran dengan Pulau Jemur.
Ia berstruktur batu sepenuhnya, tiada kawasan rata untuk berehat atau berkhemah, sekali gus menjadikannya lokasi memancing yang mencabar.
Setiap langkah perlu berhati-hati kerana permukaan muka buminya yang tidak sekata serta licin apabila terkena air laut.
Struktur dasar laut di sekitar pulau ini berbatu, berkarang serta mempunyai alur-alur air menjadikan kawasan itu sangat sesuai sebagai tempat perlindungan ikan.
Antara spesies ikan yang popular dan sering dinaikkan oleh pemancing di sini adalah gelama, bebulus, tetanda, kerapu, cencaru dan tamok, sekali gus menjadikan pulau ini lokasi ideal untuk pelbagai teknik memancing.
Sebelum ke pulau, pemancing perlu menyediakan umpan dan memastikan bekalan air dan makanan mencukupi.
Naik bot
Pemancing perlu menaiki bot dari jeti Jeram dengan masa perjalanan sekitar 20 minit. Kos bot pula adalah mengikut jumlah penumpang, dengan seorang pemancing dikenakan sekitar RM30 bagi perjalanan pergi dan balik.
Tekong bot yang cukup dikenali dan sering menjadi pilihan pemancing di kawasan ini ialah Abang Lan.
Dia juga terkenal dengan sikap peramah dan sentiasa memberi tip kepada pemancing yang berkunjung.
Setibanya di Pulau Besar, kami menyediakan set pancingan mengikut strategi masing-masing.

Wandi yang memang gemar memancing ikan tamok terus menyediakan set pancing khasnya.
Arep memilih untuk mengilat gewang untuk memburu ikan seperti tetanda dan kerapu yang sering bersembunyi di celah batu serta struktur karang sekitar pulau. Saya pula mengikuti Wandi sambil belajar teknik memancing tamok.
Teknik
Arus mati langsung tidak bergerak, kurang sesuai untuk pancingan tamok kerana ia menjadi pasif.
Waktu terbaik biasanya ketika air sedang bergerak perlahan, sama ada semasa air sedang naik pasang atau turun surut.
Awal pagi dan lewat petang sering dianggap waktu keemasan untuk memancing tamok, terutamanya ketika permukaan air tenang dan arus perlahan.
Keseronokan memancing ikan ini bukan sahaja terletak pada hasil tangkapan, tetapi pada proses memujuk ia mengambil umpan.
Roti akan dicarik dan ditabur sedikit demi sedikit bagi menarik perhatian kumpulan tamok menghampiri.
Rasuah perlu dilakukan secara berterusan tetapi terkawal supaya ikan tidak terlalu kenyang. Apabila kelihatan kilauan badan ikan tamok timbul di permukaan, itu petanda ia sudah berkumpul dan sedia untuk dipancing.
Umpan roti yang dicangkuk pada mata kail akan dilontar ke kawasan ikan bermain. Ada juga pemancing meng-
gabungkan roti dengan sedikit dedak ikan atau tepung udang bagi menambahkan aroma yang dapat menarik minat tamok.
Mata kail saiz 5 hingga 7 menjadi pilihan. Saiz ini cukup kecil untuk disembunyikan di dalam umpan roti, tetapi masih kuat untuk menahan tarikan ikan.
Perambut fluorocarbon yang halus dengan kekuatan sekitar 6 hingga 10lb sudah memadai. Terlalu tebal akan membuatkan ikan tamok mudah curiga, jika ia terlalu halus pula berisiko putus ketika perlawanan dengannya.
Pelampung perlu dipasang pada jarak yang betul supaya umpan roti berada tepat di kedalaman ikan tamok berlegar. Biasanya, pelampung dilaras antara lima hingga 15 sentimeter jauhnya dari mata kail.
Jika arus laju, pelampung boleh diletakkan lebih jauh dari mata kail untuk memastikan umpan tidak tenggelam terlalu cepat.
Sebaliknya, jika arus perlahan, pelampung diletakkan lebih dekat supaya umpan tidak terapung terlalu tinggi dan menyebabkan ikan tamok ragu-ragu untuk menyambarnya.
Pelampung yang sensitif akan mula bergerak apabila ikan tamok menggetu umpan, jadi pemancing perlu peka dengan sebarang pergerakan pelampung.
Pemancing juga perlu bersedia apabila pelampung tenggelam perlahan atau bergerak ke sisi. Tunggu seketika agar ikan benar-benar telan umpan, barulah boleh sembat joran.
Ikan tamok mempunyai mulut keras dan kadangkala mata kail hanya melekat di bucu bibirnya. Ini menyebabkan ia mudah terlepas jika tidak disembat pada masa betul.
Jika kena pada teknik dan masa yang tepat, pemancing biasanya tidak perlu menunggu lama.
Sekejap sahaja sudah kena ikan tamok dan biasanya tarikannya agak kasar dan mengejutkan.
Jadi, perlu sentiasa bersedia dengan drag diselaraskan dengan betul bagi mengelakkan tali putus ketika henjutan pertama berlaku.
Ketika trip
Pada pagi itu, arus mula bergerak surut secara perlahan. Kumpulan ikan tamok semakin galak, dan Wandi sudah pun menaikkan beberapa ekor tamok.
Ikan kitang juga pada masa sama sibuk mencuri umpan. Saya pula tidak ketinggalan menaikkan beberapa ekor tamok saiz sekitar 500 gram.
Hasil pancingan pada pagi itu agak memberangsangkan. Namun pada sebelah petang, arus menjadi agak kuat hingga menyukarkan sesi pancingan.
Kami hanya duduk berehat sambil menikmati suasana pulau, menunggu tekong Abang Lan datang menjemput kami kembali ke jeti.
Trip memancing ke Pulau Besar ini bukan sahaja memberi kami hasil tangkapan yang memuaskan.
Malah mengajar saya tentang pentingnya kesabaran, pemilihan teknik yang tepat serta kepekaan terhadap perubahan arus dan waktu.














