PETALING JAYA – Persidangan Mahasiswa (Persima) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menjadi medan utama dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai suara penting dalam pembangunan dasar dan kebajikan kampus.
Program yang menghimpunkan Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Penghuni Kolej Kediaman serta pelbagai kelab dan persatuan itu memberi ruang kepada mahasiswa mengemukakan cadangan secara lebih sistematik dan berimpak.
Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, mahasiswa kini perlu melangkah ke hadapan dengan memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik universiti, bukan sekadar penyampai pandangan.
Menurutnya, cadangan yang diketengahkan perlu berasaskan fakta dan data, selain mengambil kira keperluan sebenar mahasiswa bagi memastikan setiap usul mampu dilaksanakan secara berkesan.
“Mahasiswa hari ini perlu berani membawa idea yang bukan sahaja kritikal, tetapi juga praktikal dan boleh dilaksanakan.
“Universiti sentiasa terbuka menerima pandangan, namun keutamaan diberikan kepada cadangan yang jelas, berimpak dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan ekosistem kampus,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, Persima bukan sekadar platform perbincangan, sebaliknya menjadi saluran penting dalam proses membuat keputusan di peringkat universiti, sekali gus memastikan suara mahasiswa terus relevan dan diberi perhatian sewajarnya.














