PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan mengesahkan telah mengeluarkan panduan kepada kementerian dan agensi bagi menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
“Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi,” katanya ringkas di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














