PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan detik buntu apabila mendapati topi keledar miliknya hilang di parkir sebuah pusat beli-belah dan digantikan dengan sekeping nota permohonan maaf.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Heusfauzanheusairy_, dia berkongsi nota ditinggalkan oleh individu yang “meminjam” helmetnya tanpa izin.
Nota tersebut mendakwa pelaku terpaksa berbuat demikian kerana helmet miliknya juga telah dicuri oleh orang lain.
“Habis itu aku nak balik Klang macam mana?,” katanya.
Menurutnya, dia juga berfikir untuk melakukan perkara yang sama dengan mengambil helmet lain dan meninggalkan nota tersebut.
Namun, dia memilih untuk tidak mengeruhkan keadaan dan bercadang membeli topi keledar baharu sebaik sahaja mendapat gaji nanti.
“Ikutkan hati nak ambil helmet yang sama warna dan letak nota yang sama tapi mana tahu orang ini pun duduk jauh jadi kita batalkan niat,” ujarnya.
Rata-rata pengguna turut berseloroh dan menganggap tindakan individu tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
“Kalau benda ni jadi berantai, tak ke penuh helmet kat pondok pengawal esok?,” seloroh Saiflhkm.
“Bayangkan dia pun buat nota dan ambil helmet lain. Pagi esok pengawal keselamatan boleh berhenti dan buka perniagaan jual helmet,” kata Hanifjamals pula. – KOSMO! ONLINE














