MEKAH – Bermula daripada hasrat untuk menyantuni tetamu Allah agar dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang, mendorong bekas pemain bola kebangsaan menyediakan hidangan bercita rasa tempatan di Tanah Suci.
Menurut Hairudin Omar, idea itu tercetus ketika beliau sendiri menunaikan umrah dan melihat kesukaran jemaah Malaysia mendapatkan makanan yang menepati selera mereka.
“Bila datang umrah, saya jumpa ramai jemaah yang susah nak cari makanan Melayu di Mekah. Dari situ timbul keinginan untuk bawa cita rasa Malaysia ke sini.
“Jadi tidak lama kemudian saya buka peluang perniagaan buka restoran di Tanah Suci yang menjual makanan citarasa Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, asam pedai dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hairudin mengakui bukan mudah untuk mengusahakan perniagaan makanan di luar negara khususnya di Arab Saudi apabila pelbagai syarat ketat perlu dipatuhi termasuk aspek keselamatan makanan dan spesifikasi dapur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, katanya, niat utama adalah untuk membantu jemaah mendapatkan makanan yang selesa dan sihat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Ini bukan sekadar perniagaan, tetapi lebih kepada usaha menyantuni jemaah supaya mereka dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang,” katanya.-KOSMO! ONLINE














