KUALA LUMPUR – Status perkahwinan pasangan pempengaruh media sosial Marissa Dania Hakim dan Ahmad Asla masih menjadi teka-teki apabila mahkamah Syariah di sini belum membuat keputusan berhubung pengesahan lafaz cerai dan rujuk melibatkan mereka.
Menurut peguam syarie yang mewakili Aslam iaitu Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, pasangan itu hanya hadir untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis hari ini.
Katanya, keputusan bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk hanya akan diputuskan pihak mahkamah pada prosiding seterusnya.
“Hari ini, Aslam dan Marissa selesai memberi keterangan di hadapan hakim.
“Bagaimanapun, tarikh sebutan kes seterusnya tidak dikongsi atas permintaan anak guam.
“Insya-Allah, doakan yang baik-baik saja. Masih suami isteri atau pun tidak, selagi mahkamah belum putuskan, itulah status mereka (masih suami isteri),” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Ditanya sama ada Marissa ada memfailkan perceraian seperti yang dinyatakan dalam media sosial sebelum ini, Muhammad Ammar memberitahu tidak menerima sebarang permohonan baharu daripada anak kepada Abby Abadi dan Norman Hakim.
“Kena tanya dia (Marissa) dan belum ada apa-apa perbincangan mengenai perkara tersebut,” ujarnya.
Terdahulu pada 30 Mac lalu, Aslam dan Marissa hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama dan sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan difahamkan rujuk sekitar Jun tahun sama.
Permohonan tersebut difailkan pada 10 Mac lalu iaitu beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
Marissa merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023 yang ketika itu sudah pun bergelar suami Umisya pada Julai 2020.
Pasangan itu juga pernah bercerai pada September 2023 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh idah. – KOSMO! ONLINE














