KUALA LUMPUR – Membuat pembelian diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan.
Itu antara helah yang dilakukan seorang pemandu lori selain mengubah suai tangki kenderaan untuk menyeleweng diesel bersubsidi.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dikesan pasukan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sekitar Sungai Besi, semalam.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, tindakan itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang dilakukan pihaknya.
“Pemeriksaan awal mendapati drebar lori berusia 35 tahun itu tidak mempunyai dokumen untuk memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak berkuasa turut menyita sebuah lori yang diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter dan 1,500 liter diesel.
Nilai keseluruhan rampasan adalah RM51,500, manakala kerugian subsidi pula sebanyak RM11,880 sekiranya tangki berkapasiti 3,000 liter tambahan tersebut diisi penuh.
“Terdapat individu bertindak sebagai ‘runner’ yang berurusan di kaunter menggunakan fleet card selain melakukan pembayaran secara tunai,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Pihak KPDN tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan dan akan mengambil tindakan syor pembatalan atau menggantung kelulusan fleet card sekiranya didapati menyalahgunakan kemudahan itu,” ujarnya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada KPDN bagi membantu usaha membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE














