fbpx
Gambar Hiasan

Calon meninggal dunia masih layak, pemilihan ASN ikut tatacara – DBP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu calon meninggal dunia tidak menjejaskan kelayakan pemilihan Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-16 apabila proses penilaian tetap dilaksanakan mengikut tatacara yang telus dan berintegriti.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana telah diumumkan sebagai penerima ASN Ke-16 selepas melalui penilaian panel yang dilantik Perdana Menteri.

Menurut DBP, keputusan pemilihan telah dimuktamadkan pada 14 April 2025, iaitu sebelum Allahyarham meninggal dunia pada 26 Mei 2025.

“Perkara ini mengesahkan bahawa pemilihan dibuat ketika calon masih hidup dan melalui proses penilaian yang lengkap serta teratur,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2026 turut meluluskan pindaan terhadap tatacara kerja ASN bagi membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau selepas keputusan dibuat, masih layak dipertimbangkan.

DBP menjelaskan, keseluruhan proses pemilihan merujuk kepada tatacara kerja sedia ada bagi memastikan prinsip integriti dan tadbir urus yang sah terus dipatuhi.

Penilaian tersebut melibatkan penelitian menyeluruh terhadap sumbangan calon termasuk karya kreatif, kekuatan pemikiran, penglibatan dalam kegiatan kesusasteraan serta impak terhadap perkembangan sastera kebangsaan.

Selain itu, aspek ketokohan melalui karya unggul dan kesan jangka panjang turut diberi penekanan dalam menentukan penerima anugerah berkenaan.

Menurut DBP, pemilihan Mana Sikana mencerminkan komitmen untuk memastikan ASN diberikan kepada tokoh yang benar-benar layak, selaras dengan martabatnya sebagai pengiktirafan tertinggi negara dalam bidang kesusasteraan.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Muda (GEMA) Kelantan, Zainal Abidin Muhamad berpandangan kurang wajar sekiranya pengarang yang telah meninggal dunia dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, meskipun pemilihan dibuat oleh panel penilai yang dilantik dan perlu dihormati kewibawaannya.

Menurutnya, masyarakat lazimnya mengharapkan tokoh yang dipilih terus menyumbang karya secara berterusan dan memberi manfaat, justeru jika calon sudah meninggal dunia, tiada lagi karya baharu dapat dihasilkan walaupun beliau layak dan memenuhi syarat ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN