fbpx
Sepasang suami isteri menuntut pembelaan selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada 15 April lalu.

Polis sahkan terima laporan bayi meninggal dunia di rumah pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan semasa berada di bawah jagaan pengasuh di Taman Sri Wang, di sini, pada 15 April lepas.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar pukul 7.19 malam menerusi panggilan dari Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pada hari berkenaan.

Ahmad Mohsin berkata, menerusi keterangan ibu bayi itu yang merupakan pengadu, dia mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian hidung dan dahi anaknya semasa pulang dari rumah pengasuh pada 7 April lepas.

“Pengasuh memberitahu anak pengadu telah terjatuh dan terkena rak televisyen. Sebelum kejadian, anak pengasuh yang berumur 6 tahun dikatakan sedang bermain dengan anak pengadu di ruang tamu rumah. Pengasuh memaklumkan anaknya ada memegang bayi itu.

“Setelah pulang ke rumah, pengadu telah memaklumkan kejadian itu kepada suaminya. Dia kemudian turut tuam dahi anaknya dengan menggunakan ais dan bayi itu juga tidak dirujuk ke klinik memandangkan berada dalam keadaan baik serta sihat seperti biasa,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, namun begitu, pada 15 April sekitar pukul 5.16 petang, bayi itu dikatakan tidak sedarkan diri dan pengasuh berkenaan turut menghubungi pengadu bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya, pengasuh juga mendakwa mendengar bayi itu menangis semasa berada di dapur lalu dia kemudiannya terus ke bahagian ruang tamu dan mendapati anak asuhannya itu berada dalam keadaan lesu serta tidak bermaya.

“Pengadu kemudian bergegas ke rumah pengasuh dan melihat anaknya dalam keadaan kekejangan. Dia dan pengasuh kemudiannya segera membawa bayi itu ke Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Arau lalu dirujuk ke Unit Kecemasan HTF,” katanya.

Ujar Ahmad Mohsin, pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan HTF mendapati bayi itu mengalami lebam di bahagian kiri dahi dan berada dalam keadaan sawan semasa dirujuk ke Unit Kecemaan hospital berkenaan.

Katanya, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati terdapat bengkak dan pendarahan pada bahagian otak mangsa serta memerlukan prosedur pembedahan.

“Pada 22 April sekitar pukul 5.08 petang, mangsa telah meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HSB. Pemeriksaan luaran ke atas mayat tidak menunjukkan tanda kecederaan pada badan mangsa.

“Terdapat pendarahan subdura pada semua bahagian dura otak terutama pada bahagian kiri dura. Kecederaan itu disebabkan oleh daya trauma tumpul pada bahagian kepala,” katanya.

Tambahnya, pengasuh itu juga telah ditahan pada 16 April lalu sekitar pukul 2.30 petang dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN