PENDANG – Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang tergamam melihat pusaran angin menuju ke arah rumahnya sebelum bertindak memeluk erat bayi dalam kejadian ribut di Kampung Paya Mak Insun di sini semalam.
Menurut Fatin Nadirah Ghazali, 32, kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu berlaku ketika dia bersama dua anaknya, Muhammad Amzar Rizqi Muhammad Azizi, 4, dan Nur Ammara Aisy yang berusia 40 hari serta ibu mentua, Fatimah Yaacob, 68, sedang berehat di rumah.
“Sebelum kejadian, saya dan bayi berada dekat pintu kerana menunggu suami pulang dari kerja sebelum masuk ke ruang tamu apabila melihat awan gelap seperti hendak hujan.
“Sebaik sahaja saya bersama dua anak dan ibu mentua duduk di ruang tamu, saya nampak dari tingkap pusaran angin menuju ke arah rumah sebelum menumbangkan pokok rambutan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dalam sekelip mata, pusaran angin itu mengangkat bumbung rumah sebelum terhempas di lantai bilik ibu mentua dan ruang belakang.
“Saya menggeletar dan hanya memikirkan keselamatan anak-anak. Saya membaca doa dan surah sambil memeluk erat bayi yang menangis kerana terkejut, manakala ibu mentua memeluk anak sulung saya.
“Kami terperangkap di ruang tamu kerana pintu rumah tidak dapat dibuka akibat dihalang pokok tumbang, manakala pintu belakang pula dipenuhi runtuhan bumbung,” ujarnya.
Menurutnya, mereka bernasib baik kerana bumbung di ruang tamu tidak turut runtuh.
“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak. Kami berempat hanya duduk di atas katil di ruang tamu sehingga suami pulang,” jelasnya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) RTP Bukit Mak Insun, Suhardi Hashim berkata, rumahnya antara yang paling teruk terjejas apabila hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin.
“Saya nampak pusaran angin mengangkat bumbung rumah sebelum meranapkan kontena yang dijadikan stor. Ini kejadian ribut paling teruk pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
Beliau menganggarkan kerugian akibat kerosakan bumbung kira-kira RM25,000.
Dalam kejadian ribut itu, sebanyak 96 buah rumah dari 24 kampung serta 11 sekolah di tiga daerah di negeri ini serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dilaporkan rosak. – KOSMO! ONLINE














