KUALA TERENGGANU – Seorang lagi peminat mangga harumanis di bandar raya ini menjadi mangsa sindiket penipuan atau ‘scammer’ sewaktu membeli buah tersebut secara dalam talian semalam.
Penjawat awam berusia 54 tahun yang kerugian RM38,090 telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.10 malam tadi.
Setakat ini, empat peminat mangga harumanis di bandar raya ini telah menjadi mangsa menggunakan modus operandi sama melibatkan kerugian kira-kira RM70,000 sejak 18 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, penjawat awam berkenaan tertarik untuk membeli buah mangga harumanis apabila melihat iklannya di laman Facebook semalam.
“Mangsa yang ketika itu berada di pejabatnya telah menghubungi nombor telefon diberikan sebelum diberikan pautan kononnya bagi tujuan urus niaga.
“Dia yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengisi butiran peribadi dan perbankan menerusi pautan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki berkenaan kemudiannya cemas apabila mendapati wang simpanan di dalam akaun banknya tiba-tiba telah dipindahkan ke akaun ketiga tanpa pengetahuannya.
Beliau berkata, pemindahan wang tersebut didapati dilakukan menerusi tujuh transaksi ke dalam empat akaun bank berasingan dalam tempoh cuma lapan minit bermula 1.28 tengah hari, semalam. – KOSMO! ONLINE






