KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki negara meneruskan rentak positif apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas Finland dalam aksi Kumpulan B Piala Thomas di Horsens, Denmark, hari ini.
Meskipun sedikit tersentak pada perlawanan pertama, Malaysia jelas menguasai baki empat perlawanan dengan aksi lebih tersusun dan meyakinkan.
Perseorangan pertama, Leong Jun Hao memulakan aksi dengan langkah kurang menjadi apabila tewas kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 untuk memberikan Finland mata pembukaan.
Bagaimanapun, Justin Hoh kembali mengimbangi kedudukan selepas mempamerkan aksi kemas menewaskan Kalle Koljonen 21-14, 21-12.
Momentum terus memihak kepada Malaysia menerusi Lee Zii Jia yang tampil tenang untuk menundukkan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10 dalam perlawanan ketiga.
Kemenangan tersebut menjadi pemangkin apabila beregu utama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menambah mata ketiga selepas mengatasi cabaran Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15.
Malaysia terus mengekalkan dominasi apabila pasangan Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 21-7, 21-14 dalam aksi terakhir.
Secara keseluruhan, skuad negara mempamerkan permainan konsisten dan disiplin tinggi untuk memastikan kemenangan selesa diraih.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia dalam posisi kukuh untuk mengharungi aksi penentuan Kumpulan B menentang Jepun pada Rabu yang dijangka menjadi ujian sebenar buat skuad negara. KOSMO! ONLINE














