fbpx
Anthony Loke bersama Aminuddin selepas selesai sidang media bersama kepimpinan PH Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

‘Rujuk Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan serta Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendirian gabungan tersebut dalam menghormati institusi diraja di negeri ini, sekaligus menekankan kepentingan untuk merujuk artikel Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ketua DAP Negeri Sembilan merangkap Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam artikel berkenaan jelas menyatakan asas perundangan kepada Undang Yang Empat untuk memanggil Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berundur sementara atau turun takhta.

Bagaimanapun menurutnya, dalam artikel yang sama juga turut dinyatakan dengan jelas ia perlu melalui satu proses yang penuh atau satu siasatan yang penuh.

“Itu jelas, jadi apabila krisis (adat) ini berlaku, ada pertikaian. Kita tak masuk campur sebab kita menghormati proses, menghormati institusi tersebut dan undang-undang adat.

“Kita tak pertikaikan kuasa Undang Yang Empat untuk menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tetapi perlu ada proses. Kita tak masuk campur soal kuasa Undang, Empat Undang (Luak) bersama Tunku Besar Tampin.

“(Namun) apa yang berlaku sekarang ini, kita berpendapat bahawa proses itu belum diselesaikan lagi,” katanya dalam sidang media bersama kepimpinan PH Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Anthony Loke berkata, selagi proses siasatan penuh dan lengkap oleh Undang yang empat tidak selesai, kedudukan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu dipertahankan oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Menurut beliau, soal sama ada proses menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu terpulang kepada (Datuk) Undang tetapi prosesnya mesti berjalan dengan mengikut tatacara dalam Perlembagaan Negeri.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN